comscore
Tumpuan :
Politik

Pemimpin UMNO tiba di WTC

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua, kiri) tiba di Menara Dato’ Onn. – Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin UMNO kelihatan tiba di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi menghadiri beberapa siri mesyuarat termasuk mesyuarat Biro Politik UMNO dan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT).

Antara yang kelihatan dan tiba seawal 11 pagi ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli MT Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said serta dua lagi Ahli MT iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitter beliau malam tadi memaklumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat Biro Politik UMNO pada tengah hari, diikuti mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 3 petang.

Turut dijadualkan berlangsung hari ini adalah mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 8 malam.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tiba di Menara Dato’ Onn. – Foto: Bernama

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 4.30 pagi tadi, BN hanya memperolehi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menghormati keputusan rakyat dalam PRU-15 serta menganggap ia satu isyarat besar kepada gabungan politik itu selain sedia menjadi jambatan bagi mengukuhkan hubungan baik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pada masa sama, BN juga bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sesama ahli parti sebelum ini dan dalam masa terdekat, akan memberikan tumpuan mengembalikan kekuatan parti terutama dalam menangani cabaran semasa serta lebih memahami keperluan generasi baharu.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tiba di Menara Dato Onn. – Foto: Bernama

Keputusan rasmi yang dikeluarkan SPR menunjukkan Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi, manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua). – HARIAN METRO

Loading...
Terkini