comscore
Tumpuan :
Politik

PH-BN tawar parkir percuma di Kelantan bermula 13 Ogos

KOTA BHARU: Parkir percuma di semua daerah yang ditawarkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan akan menjadi tarikan rakyat untuk mengundi calon yang dikemukakan oleh gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, berkata tawaran parkir percuma itu akan bermula pada 13 Ogos ini atau sehari selepas mengundi.

“Tawaran ini mendapat sambutan dan tindak balas yang positif dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Parkir percuma bukan sahaja di Kota Bharu, malah akan dilaksanakan kepada semua daerah di Kelantan,” katanya pada sidang media di Pejabat AMANAH di sini, semalam.

Yang turut hadir, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, Datuk Ismail Ghani dan calon PH DUN Tawang, Che Mat Isa.

Selain itu, Wan Abd Rahim, berkata tawaran potongan cukai premium tanah dan pecah sempadan sehingga 50 peratus juga menjadi tarikan kepada masyarakat di negeri ini.

“Perkara ini dibincangkan oleh pimpinan BN dan PH Kelantan dan kita setuju untuk kaji serta menurunkan kadar bayaran sehingga 50 peratus.

“Sekiranya rakyat memohon tanah kerajaan, kalau dulu kena bayar permohonan saja, namun sekarang kita perlu bayar penuh sebanyak RM3,000 untuk keluasan 0.4 hektar dan kalau mohon 1.2 hektar kita kena bayar RM9,000,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan 34 tawaran dikemukakan BN-PH di bawah empat teras sebagai manifesto kepada rakyat Kelantan pada PRN kali ini.

Empat teras berkenaan membabitkan aspek syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara.

Tawaran lain merangkumi inisiatif menurunkan semula kadar premium tanah sehingga 50 peratus dan parkir percuma.

Loading...
Terkini