comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Cikgu Thanen janji sumbang gaji beri bantuan ‘one-off’ RM1000, pukat kepada nelayan

| Oleh Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL : Pemberian bantuan kewangan ‘one-off’ RM1000 dan pukat baru kepada nelayan setiap tahun daripada gaji sendiri jika dipilih mewakili Parlimen Nibong Tebal.

Itu janji calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri R.S.Thanenthiran kepada golongan nelayan di Kampung Sungai Chenaam, di sini, selepas mengambilkira kesulitan dihadapi mereka, khususnya pada musim tengkujuh.

 

Kata beliau yang juga dikenali mesra sebagai “Cikgu Thanen”, bantuan kewangan ‘one-off’ itu mampu meringankan beban mereka ketika tidak dapat turun ke sungai dan laut pada musim hujan.

“Semasa saya berkhidmat sebagai guru, hampir kesemua sekolah yang saya ditugaskan adalah sekolah kebangsaan di luar bandar. Saya pernah mengajar ramai murid daripada keluarga nelayan. Jadi saya faham keadaan dihadapi mereka.

“Di sini saya mendengar keluhan mereka termasuk masalah yang mereka hadapi pada musim tengkujuh apabila tidak dapat mencari pendapatan. Itu masalah yang kita perlu selesaikan dengan perancangan yang teliti.

“Sementara mencari penyelesaian itu, saya ingin membantu mereka dengan memberian RM1000 setiap tahun. Itu janji saya jika dipilih sebagai ahli parlimen, bantuan itu datang dari gaji saya sendiri dan bukannya peruntukan ahli parlimen,” katanya selepas menyantuni nelayan Unit Sungai Chenaam, petang semalam.

“Selain bantuan kewangan, saya juga akan menyumbangkan pukat baru setiap tahun kepada setiap nelayan berdaftar di sini. Itu juga saya akan sumbangkan dari gaji saya. Ini bukan untuk meraih undi, tetapi janji ikhlas saya,” katanya lagi.

Nelayan di unit berkenaan yang mengalu-alukan perkara itu turut meminta beliau menyelesaikan masalah kekurangan lesen nelayan.

Ketua Unit Nelayan Sungai Chenaam, Ramli Yahaya mendakwa lesen nelayan dikeluarkan secara terhad, menyebabkan ramai tidak dapat ke laut secara sah.

Katanya, mereka menganggotai persatuan nelayan, namun sukar mendapat lesen nelayan.

“Jabatan Perikanan memang mengikut peraturan dengan mengeluarkan lesen nelayan secara terhad. Di unit ini hanya terdapat 72 nelayan berlesen tetap dan 9 berlesen sementara. Jumlah itu tidak mencukupi kerana ramai lagi berhasrat menjadi nelayan.

“Kebanyakannya adalah mereka yang memang bergiat dalam bidang perikanan seperti awak-awak dan pembantu bot dan kini mahu meneruskan kerjaya sebagai nelayan, tapi permohonan lesen nelayan mereka tidak diluluskan.

“Apabila terdesak mereka turun ke laut tanpa lesen dan apabila ditahan dan diperiksa oleh pihak berwajib, mereka didenda dan menanggung lebih beban. Keperluan mereka perlu didengari dan diselesaikan pihak berwajib.

“Selain itu, kami juga ingin memohon Jabatan Perikanan untuk mempertimbangkan meluaskan kawasan tangkapan laut. Nibong Tebal lagi dekat dengan perairan Perak berbanding Pulau Pinang. Apabila kami terlajak sikit ke Perak, kami salah.

“Jadi, kami berharap jika Cikgu Thanen menang, beliau perlu cuba menyelesaikan masalah ini untuk memastikan kami dapat menyumbang kepada industri makanan tanpa halangan,” katanya lagi.

Thanenthiran memberi jaminan beliau akan membawa permintaan itu kepada pihak bertanggungjawab jika diberi mandat sebagai ahli parlimen.

“Bagi saya, ini boleh diselesaikan dengan mudah menerusi rundingan dan perbincangan antara pemegang taruh iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi Jabatan Perikanan dan persatuan nelayan. Saya akan mencari jalan penyelesaian dengan kuasa yang diberi oleh rakyat selaku ahli parlimen,” ujarnya.

Thanenthiran menghadapi saingan empat penjuru di Parlimen Nibong Tebal berdepan Datuk Mansor Othman (PN), Fadhlina Sidek (PH) dan calon bebas, Goh Kheng Huat. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini