comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Manifesto GTA tawar 7 agenda tanpa janji ‘bulan dan bintang’

KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) menampilkan tujuh agenda dalam manifesto gabungan itu, tanpa menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sekiranya diberikan mandat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan manifesto berkenaan melalui saluran media sosial parti, malam ini, berkata berdasarkan pengalaman lalu, didapati apabila terlalu banyak janji dan jika melangkaui keupayaan, ia hampir pasti tidak dipenuhi.

“Jika dipenuhi, ia pasti akan membebankan kerajaan sehingga ada kepentingan awam terpaksa diketepikan demi memenuhi janji yang dibuat.

“Atas kesedaran ini, maka kami daripada GTA yang bertanding menggunakan logo PEJUANG, memberi komitmen jika kami berjaya menubuhkan kerajaan, kami akan menubuhkan sebuah kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab.

“Kami juga berikrar untuk mewujudkan kerajaan bebas rasuah; kerajaan berpegang prinsip bersih, cekap dan amanah sebagai teras semua lapisan pentadbiran; kerajaan yang menebus kedudukan ekonomi Malaysia dan kembali menjadi Harimau Asia; dan menjadi kerajaan berprinsip, berintegriti serta mempertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tujuh tawaran digariskan dalam manifesto itu yang dikenali sebagai ‘7 Agenda Baharu Malaysia’ ialah:-

Pertama: Mewujudkan bangsa wibawa terdiri daripada pemimpin dan rakyat yang bersih daripada korupsi, politik wang, penyalahgunaan kuasa, diganti dengan kepimpinan bersih, cekap dan memiliki kredibiliti.

Kedua: Mewujudkan bangsa makmur dengan pekerjaan dan pendapatan yang menjamin kehidupan sejahtera. Ekosistem ekonomi dan industri perlu diperbaiki serta diperkasakan dengan segera.

Ketiga: Bangsa berdaulat diwujudkan dengan jaminan kesihatan, pendidikan, jaringan keselamatan, kebajikan, sekuriti berserta keselamatan, keterjaminanan dan kedaulatan dari pelbagai aspek untuk sektor makanan, iklim, tenaga, keselamatan serta geopolitik, dengan penekanan kepada golongan rentan ekonomi.

Keempat: Bangsa bertamadun diwujudkan dengan memfokus pendidikan bagi mencapai potensi pelajar yang sebenar, membangunkan manusia dengan nilai hidup dan patriotisme yang mana pendidikan, pembangunan kemahiran serta kepimpinan dilaksana bagi membangunkan generasi lebih menyeluruh dan bukan semata-mata menjadi buruh industri.

Kelima: Mewujudkan negara moden – bererti pemodenan pelbagai sektor negara bagi menyesuaikan dengan kehendak ekonomi baharu dan kesejahteraan masyarakat.

Keenam: Mewujudkan negara sejahtera bagi memastikan jaringan sosial dan keselamatan rakyat dapat diperkukuhkan, terutama kepada kumpulan miskin dan rentan, terpencil, kelainan upaya serta keluarga tunggal.

Ketujuh: Mewujudkan negara lestari yang memastikan masa depan lebih baik, dengan memastikan dasar kelestarian dalam pengurusan alam sekitar yang baik, konservasi biodiversiti dan adaptasi perubahan iklim menjadi fundamental penting dalam kerajaan GTA.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PEJUANG menekankan, GTA percaya bahawa jika kerajaan yang ditubuhkan itu berpegang kepada prinsip berkenaan, maka kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi.

Selain itu, beliau berkata, rakyat daripada setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan sewajarnya, dan tiada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan diberikan keistimewaan ‘tanpa gari’ manakala rakyat biasa ‘tergari’.

“Kebebasan rakyat sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya. Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, dipertahankan.

“Inilah janji kami, dan janji ini mampu serta pasti kami penuhi jika diberi peluang mendirikan kerajaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini