comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : Presiden MIC Mahu Tanding Di Sungai Siput

Presiden MIC, SA Vigneswaran. – FOTO : NSTP

SUNGAI SIPUT : Presiden MIC, SA Vigneswaran menyatakan hasrat bertanding di kerusi parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hasrat itu disuarakan meskipun sebelum ini beliau memberi gambaran tidak semestinya bertanding di Sungai Siput, kerusi tradisi ditandingi presiden MIC dan sebaliknya diletakkan di kerusi yang lebih dekat dengan Lembah Klang.

“Pengundi Sungai Siput telah memberi kepercayaan kepada dua bekas presiden parti selama 40 tahun. Kita telah melihat pelbagai kemajuan dalam 40 tahun ini di Sungai Siput.

“Jadi, saya nak ‘reset’ (mengembalikan semula) Sungai Siput kepada MIC selepas lebih 14 tahun kerusi ini dikuasai oleh pembangkang.

“Jika saya selaku presiden MIC berhasrat bertanding pada PRU kali ini, maka saya akan bertanding di Sungai Siput,” katanya ketika berucap di Malam Mesra Sambutan Deepavali MIC bahagian Sungai Siput, malam tadi.

Untuk rekod, Dr Michael Jeyakumar Devaraj dari PSM menewaskan mendiang S Samy Vellu, presiden MIC sebelum ini, pada Mac 2008.

Samy Vellu sebelum itu berkhidmat sebagai ahli parlimen Sungai Siput selama lapan penggal bermula September 1974.

Pada pilihan raya umum (PRU) 1959, presiden kelima MIC, VT Sambanthan merupakan yang pertama memenangi kerusi itu.

Penyandang kerusi Sungai Siput sekarang ialah S Kesavan dari PKR, yang menewaskan SK Devamany dari MIC pada 2018.

Loading...
Terkini