comscore
Tumpuan :
Politik

Rafizi, Mohd Syahir debat Rabu depan

Foto : Rafizi Ramli / Facebook

PETALING JAYA: Sesi debat antara Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dijadual diadakan Rabu depan.

Ia susulan langkah Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok untuk menerima tawaran berdebat yang diajukan oleh Rafizi itu selepas menolaknya sebelum ini.

Menurut Mohd Syahir keputusan itu dibuat selepas pertimbangan semula selain mendapat keizinan pucuk pimpinan.

Beliau turut menyerahkan kepada Rafizi berhubung pemilihan tarikh, moderator, format dan urusan media mengenai debat itu.

Menerusi kenyataan terbaharunya itu, Mohd Syahir turut mencadangkan debat itu menggunakan tajuk “Malaysia Lebih Baik.”

Sementara itu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Syahir telah menerima semula jemputan untuk berdebat setelah mendapat keizinan pimpinan beliau.

“Saya ucapkan terima kasih,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Rafizi turut memuat naik satu poster mengenai program debat itu yang dinamakannya Debat Ekonomi berserta tarikh ia akan diadakan.

Poster itu turut memaparkan gambarnya bersama Mohd Syahir, selain memangkah dua lagi foto pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini menolak pelawaannya untuk berdebat iaitu bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Tambah Rafizi, platform debat adalah peluang bagi parti di negara ini membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat.

Beliau turut memberitahu maklumat lanjut mengenai acara itu akan dimaklumkan kemudian.

Artikel berkaitan : Azmin tolak, Sanusi tolak, giliran Syahir – Rafizi

Loading...
Terkini