comscore
Tumpuan :
Politik

Rina Harun tewas pada calon muka baharu di DUN Batu Tiga

SHAH ALAM: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid.

Rina yang mewakili Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga tewas dengan majoriti 3,382.

Danial adalah calon muka baharu dari AMANAH yang diketengahkan PH menang dengan undi 29,064 meninggalkan Rina yang memperolehi 25,682 undi.

Danial yang juga Ketua Pemuda PH Selangor pada awalnya dilihat bersaing sengit dengan Rina dalam jumlah undian tidak rasmi.

Sebelum ini, Rina yang juga bekas Ahli Parlimen Titiwangsa turut tewas di Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lalu.

Selain Rina dan Danial, kerusi Batu Tiga juga ditandingi calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syaidiyah Izzati Nur Razak yang memperolehi 1,902 undi.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Batu Tiga, Asmah Mohd Zin mengumumkan kemenangan Danial selepas penjumlahan undi selesai dengan sebanyak 348 undi ditolak.

DUN Batu Tiga sebelum ini disandang oleh Rodziah Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memegang kerusi itu selama tiga penggal.

Bagaimanapun, pada PRN kali ini, kerusi berkenaan diberikan kepada calon dari AMANAH yang diwakili Danial.

Secara keseluruhan, jumlah pengundi yang layak di DUN Batu Tiga adalah 74,486 orang

Loading...
Terkini