comscore
Tumpuan :
Politik

Rombakan Kecil Kabinet Sabah, Babitkan 2 Pembantu Menteri

Hajiji membuat rombakan kecil menteri Sabah.

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan kecil Kabinet Sabah menyaksikan pertukaran dua pembantu menteri .

Ia membabitkan Kementerian Kewangan negeri dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Dalam kenyataan media, Hajiji berkata, pertukaran itu dilakukan susulan pengosongan portfolio Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri.

Ini selepas penyandangnya, Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan kerajaan negeri pada Oktober lalu.

Susulan pengosongan itu, tempat Wetrom akan digantikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Jawatan Nizam akan diisi oleh Datuk Julita Majungki yang sebelum ini Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Hajiji turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Fairuz Renddan sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.

Berikutan pelantikan itu, jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal.

Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sebagai Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan sudah diperkenan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Majlis angkat sumpah Fairuz akan ditetapkan oleh Istana Negeri,” katanya. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini