comscore
Tumpuan :
Politik

Saya akan terus aktif politik walaupun bukan lagi naib presiden – Ismail Sabri

Foto: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BERA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau hendak bersara daripada politik, sebaliknya menegaskan akan terus aktif dalam dunia politik selaku Ahli Parlimen Bera, walaupun tidak lagi bergelar Naib presiden UMNO.

Ismail Sabri berkata beliau juga akan kekal menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera selepas menang tanpa bertanding, apabila dimaklumkan Setiausaha UMNO Bera bahawa dirinya adalah calon tunggal untuk jawatan itu, selepas tiada pencalonan lain diterima apabila tempoh pencalonan ditutup pada 5 petang, 26 Februari.

“Saya masih Ahli Parlimen Bera, jadi saya akan terus menjalankan tugas sebagai Ketua Bahagian… jadi tiada sebab untuk saya nak bersara. Saya tidak pernah kata hendak bersara, cuma saya beri bayangan yang saya tidak bertanding sebagai Naib Presiden,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Latih Amal Bera 2023 di Bera Waterfront di sini hari ini, anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang melibatkan latihan menyelamat semasa banjir, yang disertai 70 wakil agensi penyelamat dan ketua komuniti setempat sekitar daerah itu.

Walaupun difahamkan beliau telah menang tanpa bertanding, Ismail Sabri berkata beliau akan menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO, mengenai keputusan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

Mengulas jika beliau akan membuat kemunculan semula dalam apa-apa jawatan tertinggi parti pada masa depan atau terus mempertahankan kerusi Ahli Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ismail Sabri berkata ia akan ditentukan oleh masa.

“Lima tahun masa yang panjang. Saya sudah tua pada waktu itu… sudah 68 tahun. Pada sesetengah orang usia 68 masih muda dan ada orang berasa tua. Tengoklah… (untuk bertanding PRU), saya sudah melahirkan pemimpin muda di Bera.

“Kalau mereka tunjukkan prestasi dengan baik, saya tiada masalah untuk memberi laluan kepada mereka. Lima tahun tempoh yang panjang, apa-apa boleh terjadi… kita tunggu,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini