comscore
Tumpuan :
Politik

“Saya tahu dipecat melalui media sosial” – Annuar Musa

Annuar Musa

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau mengetahui dirinya dibuang sebagai ahli UMNO menerusi media sosial pada jam 11 malam kelmarin ketika berada di pejabat.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, ketika itu beliau juga dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp Ketua Badan Perhubungan.

“Sehingga kini, saya masih tidak menerima surat rasmi berhubung pemecatan itu. Saya tidak tahu kenapa dibuang daripada UMNO kerana tidak mempunyai salah apa-apa.

“Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang (Akbar Salim) tahu awal dan saya juga dibuang terus daripada kumpulan WhatsApp Ketua Badan Perhubungan.

“Rupanya begini dalam politik, umpama tidak sempat mati tetapi kena tanam. Saya masuk dengan baik dalam UMNO sejak 43 tahun lalu dan mahu keluar dengan elok juga,” katanya dalam ucapan di Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Cawangan UMNO Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, pemecatan beliau pecah rekod kerana dibuang tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

“Saya memecahkan rekod kerana dipecat tanpa dipanggil dan dimaklumkan terlebih dahulu termasuk menerusi Lembaga Tatatertib UMNO. Kira hakim terus jatuh hukum dahulu.

“Sebelum ini, saya dipecat sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya senyum, kena buang Setiausaha UMNO dan tidak jadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) saya senyum dan jalan terus kerana saya ini orang perjuangan.

“Saya ucapkan terima kasih. Walaupun saya bukan lagi ahli UMNO, tetapi saya mahu ahli UMNO Ketereh terus kekal berjuang dalam parti,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

“Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib,” katanya.

Loading...
Terkini