comscore
Tumpuan :
Politik

Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari UMNO Selangor

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. Foto FB Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor berkuatkuasa hari ini.

Mengikut catatan di Facebook beliau hari ini, Tengku Zafrul berkata keputusan itu dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di Selangor hambar dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO pusat.

Sambil memuji Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan nasional kerana tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat; beliau bertanyakan mengenai peranan yang dilakukan di peringkat bawah.

“Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar, malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.”

Tengku Zafrul bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri program anjuran Wanita UMNO. Foto FB Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul berkata pendekatan dan prinsipnya mudah iaitu jika tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan, maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan.

“Lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.”

Beliau menjelaskan UMNO sukar digelar parti nasional atau parti untuk masa depan jika tidak memiliki keberadaan yang kuat di Selangor.

Katanya, keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lalu sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh.

Jelasnya, kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini