comscore
Tumpuan :
Politik

Terjemahkan penolakan terhadap kerajaan di kertas undi – Muhyiddin

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto fail NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat di enam negeri memberi mesej mereka tidak gembira dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan perlu diterjemah dalam pilihan raya negeri (PRN) 2023 bulan depan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata PRN 12 Ogos ini penting untuk rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu sebagai isyarat menolak kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa kebanyakan rakyat tidak gembira dengan prestasi tujuh bulan pertama Kerajaan Perpaduan yang belum merangka dasar komprehensif bagi membela rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“PRN ini sangat penting kepada rakyat di enam negeri untuk menghantar mesej kepada kerajaan campuran PH-UMNO isyarat penolakan rakyat yang tidak gembira dengan prestasi ditunjukkan kerajaan selepas lebih tujuh bulan memerintah.

Apa yang kita lihat, sehingga kini tidak ada satu dasar komprehensif dilakukan untuk membela rakyat sedangkan rakyat terbeban dan tertekan dengan kos sara hidup yang terus meningkat.

Harga barang naik dan terus naik, sedangkan kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim pula asyik bermain retorik politik sahaja.

Gelombang kebangkitan rakyat perlu diteruskan dan rakyat tanpa mengira bangsa dan latar belakang perlu keluar melaksanakan tanggungjawab dengan mengundi calon PN pada 12 Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, dalam kenyataan sama Presiden BERSATU yang juga bekas Perdana Menteri itu mendakwa gelombang kehadiran dan sambutan rakyat terhadap PN semakin meningkat berdasarkan beberapa siri jelajah sebelum ini.

Beliau menzahirkan keyakinan momentum sokongan dan semangat dizahirkan penyokong PN akan berterusan sehingga PRN 2023 pada 12 Ogos ini.

Loading...
Terkini