comscore
Tumpuan :
Politik

Tiada keperluan salur peruntukan kepada ADUN pembangkang di Melaka – KM Melaka

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang media selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjura Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh di Merlimau, malam tadi. – FOTO: NSTP/Amir Mamat.

JASIN: Tiada peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Melaka, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata tiada sebarang perbincangan mengenainya dibuat setakat ini, malah kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan permohonan wakil rakyat pembangkang negeri itu pada masa hadapan.

“Kita tidak memutuskan apa-apa bentuk bantuan untuk pembangkang, tak ada dibincangkan langsung,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka AIdilfitri Ketua Pemuda UMNO merangkap ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh di Dataran Orang Kampung, di sini malam tadi.

Tambah Ab Rauf, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka kini ditadbir oleh seorang Penyelaras DUN yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi menjalankan tugas membela nasib penduduk di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan suasana politik, khususnya di Melaka sekarang, biarlah macam ini sahaja. Jika kerajaan Persekutuan (hendak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang) itu hak mereka, kerajaan negeri adalah hak kerajaan negeri (untuk membuat keputusan),” jelasnya.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang berharap supaya kerajaan negeri mempertimbangkan langkah sama dibuat kerajaan persekutuan yang sedang mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan kepada semua ahli parlimen pembangkang.

Dr Yadzil yang juga ADUN Bemban dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri juga berharap peruntukan disalurkan sewajarnya kepada semua wakil rakyat pembangkang di setiap negeri.

Melaka mempunyai dua kerusi DUN dimenangi pembangkang iaitu Bemban dan Sungai Udang.

Susulan itu, kerajaan negeri melantik masing-masing seorang Penyelaras DUN bagi menjalankan tanggungjawab membangunkan kawasan, selain lantikan tambahan seorang Penyelaras di DUN Rembia.

Khamis lalu media melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat di Sri Perdana, Putrajaya, pada 17 April lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu sebelum dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini