comscore
Tumpuan :
Prihatin

‘Syukur…Terima Kasih Semua’

Saifuddin membantu menolak kerusi roda dinaiki Azhar yang selamat tiba di KLIA, semalam (FOTO: NSTP)

SEPANG: “Kami sekeluarga bersyukur kepada Allah SWT kerana selepas mengharungi pelbagai masalah terutama dari segi kewangan, akhirnya dipermudahkan membawa abang pulang ke Malaysia setelah hampir dua bulan terlantar di hospital Korea Selatan,” kata Norul Hanim Mohamad, 34.

Norul Hanim adalah adik kepada Azhar, 37, yang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan, akibat strok bahagian kanan badan pada 31 Ogos lalu.

Katanya, mereka juga berterima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil) Seoul atas bantuan mempermudahkan urusan membawa pulang Azhar ke tanah air.

Selain itu, beliau berkata, mereka terharu dan merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang dan seluruh rakyat Malaysia yang menyalurkan bantuan untuk menyelesaikan sebahagian kos rawatan Azhar di hospital.

Daehan Rehabilitation Hospital Putrajaya tawar perkhidmatan pemulihan intensif dari Korea Selatan

“Kesihatan abang semakin pulih selepas berjaya menjalani dua pembedahan. Abang akan terus menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Azhar tiba di KLIA pada jam 5.15 petang dengan ditemani kakaknya, Fazillah, 35, serta sepupu, Noradilawaty Zainol, 44, dan disambut Saifuddin bersama beberapa kakitangan Kementerian Luar.

Beliau yang menggunakan kerusi roda kemudian dipindahkan ke sebuah ambulans dan dibawa terus ke HTAA untuk meneruskan rawatan.

Pada 31 Ogos lalu, Azhar yang berasal dari Indera Mahkota, Pahang, ditemui rakan dalam keadaan separa sedar di rumah sewanya selepas mengalami serangan strok.

Susulan itu, beliau yang masih bujang dan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Jincheon, Korea Selatan, dirawat di ICU Hospital Chungbuk National University.

Menceritakan lanjut, Norul Hanim berkata, kejadian itu amat mengejutkan mereka sekeluarga kerana Azhar tiada masalah kesihatan sebelum ini dan sudah menetap di Korea Selatan sejak hampir lima tahun lalu.

Setakat ini, beliau berkata, Azhar belum mampu bercakap selepas menjalani dua pembedahan membuka sebahagian tempurung kepala untuk mengeluarkan darah beku.

“Kos rawatan di hospital adalah kira-kira RM280,000. Selepas ini, kami akan berusaha mencari dana bagi menyelesaikan sebahagian lagi kos yang tertunggak selepas pihak hospital memberi kelonggaran selama 12 bulan melalui rundingan diadakan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Norul Hanim melalui talian 019-9772133. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini