comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka Singapura

Aksi Aaron-Wooi Yik ketika suku akhir Terbuka Singapura hari ini. – FOTO: Ihsan Badminton Photo

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya membalas dendam kekalahan kepada Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin apabila membenam lawan itu pada aksi suku akhir Terbuka Singapura hari ini.

Selepas tewas di peringkat sama di Masters Malaysia dua minggu lalu, Aaron-Wooi Yik tidak lagi melakukan kesilapan apabila menewaskan beregu Indonesia itu 18-21, 21-16, 22-20 dalam aksi sengit yang berlangsung selama satu jam 18 minit.

Pada aksi suku akhir Masters Malaysia, Aaron-Wooi Yik tewas straight set di tangan Carnando-Marthin 18-21, 19-21 dalam tempoh 52 minit.

Pertembungan di Singapura adalah pertemuan kelapan antara mereka dan Aaron-Wooi Yik sudah melakar enam kemenangan ke atas Carnando-Marthin yang berada di ranking ke-10 dunia.

“Walaupun menang, saya rasa ini bukan perlawanan yang kami boleh berpuashati sebab dalam perlawanan (set penentuan) kita mendahului lawan dengan jurang yang agak besar tapi akhirnya kita menang dengan ‘deuce’.

“Itu yang sentiasa berlaku kepada kami selepas mendahului lawan, banyak buat kesilapan sendiri. Perkara inilah yang harus kami perbaiki,” kata Aaron.

Aaron-Wooi Yik yang juga beregu keempat dunia dijadual bertemu lawan lebih sukar di pentas separuh akhir esok apabila berdepan gandingan ketiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik hanya mencatat satu kemenangan dalam empat pertemuan menentang gandingan China berkenaan dan ia adalah pertembungan kali kedua buat mereka bagi musim 2023.

Aaron-Wooi Yik merekodkan kemenangan pertama 22-20, 21-13 ketika Masters Indonesia Januari lalu selepas dikecewakan di final Terbuka India sebelum itu, 21-14, 19-21, 18-21.

Loading...
Terkini