comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik Peroleh Pingat Pertama Malaysia Di Olimpik Tokyo

Berakhirnya satu penantian.

Beregu lelaki utama negara,  Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperoleh pingat gangsa, pingat pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo selepas lebih dari seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi  pada 23 Julai lepas.

Aaron-Wooi Yik  mengambil masa 52 minit untuk menundukkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sport Plaza, di sini hari ini.

Ia sememangnya perlawanan sengit dalam set pertama dengan kedua-dua beregu bersungguh-sungguh mendapatkan mata sebelum Aaron-Wooi Yik mendahului 11-9 sebelum perlawanan direhatkan sebentar.

Selepas perlawanan disambung semula wakil Indonesia itu kemudian beraksi dengan agresif dan mendahului 12-9 serta mengekalkan penguasaan mereka sehingga menamatkan set pertama dengan 21-17.

Dalam pada itu beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghargai sokongan seluruh rakyat Malaysia sehingga menyaksikan mereka dapat meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pasangan muda negara yang pertama kali beraksi di pentas Olimpik itu menyifatkan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak di tanah air membakar semangat mereka untuk terus memberikan aksi terbaik biarpun pingat pertama kepada negara itu bukannya kilauan emas. 

“Terima kasih kepada anda semua yang menyokong kami… rakyat Malaysia, keluarga, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan barisan kejurulatihan.

“Kalau bukan sokongan daripada anda semua, kita mungkin tidak akan berada seperti sekarang, raih pingat pada Sukan Olimpik,” katanya.

Pasangan Aaron-Wooi Yik meraih gangsa, pingat pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo, selepas lebih seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lepas.–BERNAMA

Loading...
Terkini