comscore
Tumpuan :
Sukan

All England: Aaron-Wooi Yik ke separuh akhir, Zii Jia terkandas

Beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menundukkan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia pada suku akhir Seluruh England di Birmingham awal pagi tadi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi mengulangi pencapaian terbaik mara ke final All England lima tahun lalu apabila mereka layak ke separuh akhir, awal pagi tadi.

Pasangan nombor lima dunia itu tidak berdepan masalah untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas mengatasi bekas juara dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-14, 21-11 pada aksi suku akhir di Utilita Arena, Birmingham.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ke atas gandingan lawan selepas menang semua empat pertemuan sebelum ini.

“Kami gembira kerana dapat bermain dengan corak permainan kami hari ini, tahap keyakinan kami juga sangat baik.

“Kami sudah empat kali bertemu mereka sebelum ini dan gembira dapat mencatat satu lagi kemenangan hari ini,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron-Wooi Yik sebelum ini pernah melangkah ke pentas final pada edisi 2019 tetapi gagal merangkul gelaran juara selepas mereka tewas di tangan beregu Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Bekas juara dunia itu akan bertemu pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan bagi perebutan tiket ke final, malam ini.

Walaupun menang semua tiga pertemuan ke atas lawan sebelum ini namun Aaron-Wooi Yik tetap mengambil pendekatan berwaspada susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu Taiwan itu sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam misinya untuk melangkah ke separuh akhir Seluruh England buat kali kelima berturut-turut apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan Lakshya Sen dari India.

Zii Jia yang juga juara edisi 2021, menang set pertama 22-20 tetapi Lakshya berjaya bangkit dengan memenangi dua set berikutnya 21-16, 21-19 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini