comscore
Tumpuan :
Sukan

ARC: Hong Kong terlalu kuat buat skuad Bunga Raya

 

Aksi pasukan ragbi Malaysia ketika berdepan Hong Kong.

KUALA LUMPUR: Pasukan ragbi negara menamatkan kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2023 tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 9-88 kepada Hong Kong pada aksi terakhir di Stadium Kelab Bolasepak Hong Kong hari ini.

Pasukan negara yang diberi julukan skuad Bunga Raya ternyata bukan tandingan lawan yang merupakan pasukan kedua terbaik Asia dan ke-24 dalam ranking dunia.

Dalam perlawanan itu, pasukan negara ketinggalan 6-45 pada separuh masa pertama selepas Hong Kong melakukan satu penalti diikuti masing-masing enam try dan conversion.

Enam mata berjaya dicuri pasukan negara pada babak pertama disumbangkan Mohd Fairuz Ab Rahman selepas tenang menyempurnakan penalti masing-masing pada minit ke-16 dan minit ke-22.

Aksi pasukan ragbi Malaysia ketika berdepan Hong Kong.

Bersambung babak kedua, Hong Kong yang diperkuat barisan pemain naturalisasi terus rancak mengasak kubu pasukan negara apabila melakukan tujuh try dan empat conversion sementara Malaysia hanya berjaya mencuri tiga mata menerusi penalti Mohd Fairuz.

 

Pemain Hong Kong, Sebastian Brien muncul pemain terbaik perlawanan selepas melakukan keseluruhan lima try.

Sabtu lalu, skuad Bunga Raya bimbingan Mohd Farid Syazwan Abu Bakar yang menghuni kedudukan ke-49 dalam ranking dunia tumpas 3-27 kepada Korea Selatan pada aksi sulung kejohanan di Stadium Saidina Hamzah, Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM).

Hong Kong akan melayani kunjungan Korea Selatan pada aksi terakhir dalam merebut gelaran kejohanan pada Sabtu depan. – BERNAMA.

Loading...
Terkini