comscore
Tumpuan :
Sukan

PDRM tamatkan kemarau 32 tahun untuk kembali bergelar juara

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

IPOH: Penantian 32 tahun pasukan PDRM terlerai selepas kejayaan menundukkan juara bertahan, Putrajaya pada aksi final Ragbi Piala Agong yang berlangsung di Stadium Ragbi Perak di Ipoh.

Ia selepas kemenangan 29-22 yang dicipta, menafikan usaha Putrajaya untuk mempertahankan kejuaraan.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung jam 4 petang itu, PDRM bermula cukup baik selepas Muhd Danial Noor Hamidi membuka try pertama seawal minit ke 3.

Ia disusuli dengan try kedua PDRM pada minit ke 15, sekali lagi menerusi percubaan Danial meletakkan pasukan selesa mendahului 14-0, termasuk dua conversion sempurna Lee James Chapman.

Minit ke 17, Putrajaya akhirnya lega dapat memecah kebuntuan menerusi try Nadamu Damasino Nolevu.

Namun, dibalas PDRM dengan dua try hasil percubaan Qiolevi Moape dan K. Dinesvaran untuk menutup aksi babak pertama dengan kedudukan 24-7 tamat separuh masa.

Bersambung seleps rehat, kebangkitan cuba dilakukan Putrajaya bermula dengan try Jaoji Tuni Koroimataitini pada minit ke 43.

Dan Firdaus Zahed turut cemerlang menambah 3 mata penalti sebelum dia turut melakukan try buat Putrajaya untuk kedudukan semasa 24-22 memihak PDRM.

Dengan peluang terbuka untuk Putrajaya memintas, PDRM tidak mahu kecewa, sebaliknya gerakan pantas Maope membuka ruang kepada Zulkiflee Azmi untuk melakukan try, memberi kelebihan kepada PDRM ketika permainan berbaki 2 minit.

Dan sebaik perlawanan ditamatkan, PDRM pastinya paling ceria, berjaya menamatkan penantian 32 tahun untuk kembali bergelar juara Piala Agong menerusi kemenangan 29-22.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dengan PDRM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 selain trofi kejuaraan.

Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga, Sabah gah membelasah Kuala Lumpur dengan kemenangan besar 62-19.

Loading...
Terkini