comscore
Tumpuan :
Sukan

Azizulhasni tutup tirai di Hong Kong dengan empat emas

Azizulhasni (tengah) meraih emas acara pecut di Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II, hari ini. – FOTO : Ihsan Azizulhasni Awang / Facebook

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menutup tirai kempen di Hong Kong dengan penuh bergaya apabila merangkul pingat emas keempat selepas mengungguli acara pecut di Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Hong Kong itu, Azizulhasni yang mesra disapa ‘Jijoe’ memastikan emas menjadi miliknya selepas mengatasi pelumba Korea Selatan, Kang Seojun.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Zonis meraih gangsa selepas memenangi perlumbaan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Azizulhasni sebelum ini berjaya menggondol dua emas bagi acara keirin dan pecut individu dalam siri pertama kejohanan di Hong Kong itu selain turut mengungguli acara keirin pada siri kedua, semalam.

Sementara itu, pelumba muda wanita negara, Amber Yong membuktikan dominasinya apabila meraih emas ketiga di Hong Kong dengan mengungguli acara keirin remaja.

Pingat perak acara itu dimenangi pelumba Singapura Valencia Tan manakala gangsa dimenangi wakil tuan rumah, Jhih Yan Lin.

Loading...
Terkini