comscore
Tumpuan :
Sukan

Bakar suar: FAM denda JDT RM120,000

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) dikenakan hukuman denda berjumlah RM120,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia susulan tindakan penyokong Harimau Selatan menyalakan suar dalam tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

FAM dalam kenyataan hari ini menjelaskan, biarpun tidak diberitahu secara umum sebelum ini, surat hukuman denda bagi kesalahan itu sebenarnya sudah dihantar ke JDT pada 31 Mei lalu.

Badan induk itu berkata, ia bagi memaklumkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei lalu.

“Bagi perlawanan Liga Super, JDT menentang Sabah pada 31 Mac lalu, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana kelab itu didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Seterusnya, bagi perlawanan Liga Super, JDT melawan Kedah Darul Aman pada 9 April, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Sementara bagi perlawanan Piala FA, JDT menentang PDRM pada 14 April lalu, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong,” kata FAM.

Selain itu, FAM berharap dengan pemakluman itu dapat memberi penjelasan kepada umum tindakan dan hukuman sudah diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.

“Adalah sekarang menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat,” katanya.

Loading...
Terkini