comscore
Tumpuan :
Sukan

BASIKAL: Nur Aiman, Siti Nur Adibah kekal dominasi acara ujian masa

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT KATIL: Pelumba pasukan Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Siti Nor Adibah Akma Mohd fuad cetus sensasi tersendiri apabila mengekalkan gelaran juara bagi acara ujian masa perseorangan elit buat kali keempat berturut-turut.

Nur Aiman yang juga merupakan bekas pelumba pasukan Sapura Cycling mengakui dia sedar cabaran yang perlu dihadapinya pada Kejohanan Jalanraya Kebangsaan yang diadakan di Bukit Katil kali ini tetap sengit dengan penyertaan dua pelumba pasukan Terengganu Polygon, Muhamad Nur Aiman Mohd Zharif dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Dan pada acara ujian masa perseorangan lelaki elit yang membabitkan jarak perlumbaan sejauh 45km itu, dia berusaha keras untuk mengekalkan gelaran, menamatkan perlumbaan dengan catatan 56 minit 24.093 saat (s).

Nyata catatan yang dilakar Nur Aiman berjaya meletakkannya di kedudukan teratas untuk bergelar juara selepas dua pelumba Terengganu Polygon menamatkan aksi di posisi kedua dan ketiga.

“Cabaran kali ini saya bersaing dengan dua pelumba pasukan Terengganu, daripada dulu lagilah, tetapi Alhamdulillah dapat mengekalkan lagilah, cabaran saya angin, cuaca lepas tu dengan trafik lagi memang cabaran utama lah, lepas itu ada anjing, tetapi Alhamdulillah dapat nombor satu lagi,” kata Nur Aiman.

Kejayaan Nur Aiman kemudiannya turut diikuti rakan sepasukan dalam saingan 30km ujian masa wanita elit, Siti nur Adibah Akma Mohd Fuad.

Dia menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 46 minit, 30.652 saat (s) untuk mengekalkan kejuaraannya.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Kuala Lumpur, Yeong Zhen Yi manakala Nyo Ci Hui dari Perak ketiga.

“Saya cuba yang terbaik tadi, angin agak kuat, saya dah melayang-layang, tetapi jurulatih cakap fokus, sebab saya dah ke kiri, ke kanan, lepas tu laluan pun mereka hanya buka satu lorong saja, jadi kita tidak boleh makan, kita tidak dapat banyak kelebihan di situ,” kata Siti Nur Adibah.

Bagi jurulatih skuad basikal lebuhraya kebangsaan, Mohd Yusof Nasir, aksi yang disajikan Nur Aiman terutamanya memang cukup membanggakan.

Lebih-lebih lagi dia berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.

“Memang bekas pelumba yang menang tiga kali sebelum ni, dan memang kita hanya mahu kekalkan prestasinya untuk dia terus pegang kejuaraan inilah, pada saya dia masih lagi di tahap yang terbaik untuk dia memenangi perlumbaan hari ini, selepas daripada Sukan Sea hari itu, dia terus memberikan tumpuan, dan sekarang ni persediaan untuk Le Tour De Langkawi, sekarang terus berjalan, untuk tahun ini punya kejohanan kebangsaan, ujian masa dia dah bagi yang terbaik hari ini,” kata Yusof.

Esok, hanya tiga acara akan berlangsung iaitu 156km lepas beramai-ramai lelaki bawah 23 tahun, 104km lepas beramai-ramai remaja lelaki dan 78km lepas beramai-ramai remaja wanita.

Loading...
Terkini