comscore
Tumpuan :
Sukan

BASIKAL: Amer ungguli saingan Elit BMX Kebangsaan, intai kelayakan ke Paris

Amer Akbar menewaskan enam pencabar di perlumbaan akhir Elit Lelaki di Kejuaraan BMX Kebangsaan 2023. Foto NSTP

NILAI: Amer Akbar Anuar ditabal sebagai juara saingan BMX Kebangsaan 2023 kategori Lelaki Elit membolehkannya menambah mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pelumba pasukan Terengganu Hanelang itu mengakhiri perlumbaan kemuncak mengatasi Saniy Syahmi Mohd Safiee di tempat kedua manakala juara bertahan Mohamad Faris Mohd Nashari di kedudukan keempat.

“Kemenangan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya pada tahun lalu. Ia juga sebagai persediaan dan dorongan saya untuk untuk kejohanan dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos depan,” luah Amer Akbar yang berusia 20 tahun.

Kejuaraan BMX Kebangsaan berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu hingga Ahad melibatkan penyertaan 280 pelumba daripada 33 pasukan negeri dan kelab termasuk Singapura dan India.

Sebanyak 25 kategori dipertandingkan dengan tiga daripadanya  Lelaki Junior, Wanita Elit dan Lelaki Elit menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik kepada pemenangnya.

Sasaran pelumba mendapatkan mata ke temasya terbesar dunia itu ialah di Kejuaraan Asia BMX di Filipina, 17 dan 18 Julai ini.

Loading...
Terkini