comscore
Tumpuan :
Sukan

Bayern Munich, Real Madrid layak ke peringkat kalah mati UCL

Penyerang Bayern Munich, Harry Kane (tengah) menanduk masuk gol pembukaan menentang Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara di Arena Allianz, Munich awal pagi tadi. FOTO: Reuters

PARIS: Bayern Munich dan Real Madrid layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan berbaki dua perlawanan awal pagi tadi.

Bayern layak selepas menang 2-1 ke atas Galatasaray di laman sendiri, kemenangan ke-17 berturut-turut mereka pada peringkat kumpulan.

Anak buah Thomas Tuchel menyaksikan satu gol Galatasaray dibatalkan kerana ofsaid sebelum Harry Kane menanduk masuk gol pembukaan dengan berbaki 10 minit.

Kane kemudian menambah satu gol lagi, gol ke-19 buatnya bersama Bayern dalam 15 penampilan, sebelum Cedric Bakambu membalas satu gol pada masa kecederaan buat Galatasaray.

“Dia seorang yang luar biasa dan kami bangga mempunyainya dalam pasukan kami,” kata penjaga gol Bayern, Manuel Neuer kepada saluran penyiar DAZN mengenai Kane.

Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. FOTO: Reuters

Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Pemegang rekod 14 kali juara Eropah, Real Madrid memastikan kemaraan dari Kumpulan C dengan kemenangan 3-0 di laman sendiri ke atas Braga selepas dikejutkan apabila pemainnya mengalami kecederaan sebelum sepak mula.

Penjaga gol Kepa Arrizabalaga mengalami kecederaan ketika memanaskan badan, namun penggantinya Andriy Lunin bertindak cemerlang dengan menyelamatkan penalti Alvaro Djalo pada minit keenam.

Ketika Jude Bellingham direhatkan, Brahim Diaz meletakkan Real di depan pada minit ke-27 sebelum dua pemain Brazil, Vinicius Junior dan Rordygo menyumbang gol pada babak kedua.

Sementara itu, Naib juara tahun lalu Inter Milan dan Real Sociedad turut menempah tiket mereka ke peringkat kalah mati, menyertai juara bertahan Manchester City dan RB Leipzig layak ke pusingan 16 terakhir.

Dalam Kumpulan D, Inter memastikan kemaraan dengan kemenangan 1-0 di laman lawan menentang Red Bull Salzburg di Austria, perlawanan yang ditentukan menerusi gol penalti lewat Lautaro Martinez.

Keputusan itu juga membolehkan Real Sociedad layak selepas terdahulu menewaskan kelab gergasi Portugal, Benfica 3-1.

Mikel Merino, Mikel Oyarzabal dan Ander Barrenetxea menyumbat gol dalam tempoh 21 minit pertama buat tuan rumah sebelum Rafa Silva membalas satu gol bagi Benfica. – AGENSI

Loading...
Terkini