comscore
Tumpuan :
Sukan

Hazard umum ‘pencen’

LONDON: Eden Hazard mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak hari ini.

Pemain Belgium itu berusia 32 tahun itu menyifatkan keputusannya berhenti adalah tepat pada masanya.

Hazard bersetuju menamatkan kontrak bersama Real Madrid setahun lebih awal pada musim panas selepas menandatangani kontrak lima tahun pada 2019 bernilai £89 juta (RM516 juta).

Dia hanya tampil 76 perlawanan sepanjang empat musim di Sepanyol dan sekadar menjaringkan tujuh gol.

Kariernya di La Liga bertukar hambar apabila kerap mengalami kecederaan, tidak seperti di Chelsea apabila dia meledak 110 gol dalam 352 perlawanan dan menjulang dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hazard dalam kenyataannya berkata: “Anda mesti dengar dengan diri sendiri dan berhenti pada masa yang tepat. Selepas 16 tahun dan lebih 700 aksi profesional, saya membuat keputusan menamatkan karier sebagai pemain profesional.

“Saya berjaya mencapai impian, saya bermain dan bergembira di atas pelbagai padang di serata dunia. Sepanjang karier saya bertuah bertemu pengurus hebat, jurulatih dan rakan sepasukan. Terima kasih semua, saya pasti rindukan anda.

“Saya juga berterima kasih kelab yang saya pernah beraksi: LOSC, Chelsea dan Real Madrid; serta terima kasih kepada RBFA untuk saya tersenarai dalam skuad kebangsaan.

“Terima kasih istimewa kepada keluarga, rakan, penasihat dan penyokong yang tetap setia dengan saya ketika senang dan susah.

“Kini detik untuk saya menikmati masa bersama insan tersayang dan mencari pengalaman baharu. Jumpa anda semua di luar padang tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI

Loading...
Terkini