comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Aksi ‘ulangan’ Liverpool dan Man United di Paroi, JDT bedal NSFC

Pemain JDT meraikan jaringan ketika menewaskan NSFC 7-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. – FOTO: Johor Southern Tigers / Facebook

PAROI: Satu lagi keputusan besar dirakam hari ini apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Negeri Sembilan (NSFC) 7-0 dalam aksi ketiga Liga Super.

Nasib menimpa NSFC itu pastinya menjadi buah mulut arena bola sepak tanah air memandangkan persis Manchester United yang dibolosi tujuh gol oleh Liverpool di Liga Perdana Inggeris tengah malam semalam.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Harimau Selatan menutup babak pertama selesa dengan mendahului 2-0.

Gol sumbangan Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo pada minit ke-21 dan 41 itu ditambah dengan lima lagi pada babak berikutnya.

Gawang tuan rumah bolos kali ketiga hasil penyudah penalti Forestieri empat minit permainan bersambung, disusuli giliran Arif Aiman Mohd Hanapi yang menjadikan kedudukan semasa 4-0 empat minit berselang.

Benteng NSFC terus tidak berjaya mengekang kedatangan lawan menyebabkan ditembusi La’Vere Corbin-Ong yang menjaringkan gol kelima permainan minit ke-67.

Penjaga gol Hobin Jang Hobin Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman bertubi-tubi dibarisan terakhir pasukan menghalang bola.

Namun JDT berjaya juga menambah dua gol yang dilakukan oleh Endrick Dos Santos pada minit ke-72 disusuli jaringan kedua peribadi Corbin-Ong dua minit sebelum aksi tamat.

Kemenangan besar itu membolehkan anak buah Esteban Solari muncul sebagai pendahulu baharu carta, hasil kelebihan 12 gol selepas mengumpul sembilan mata bersama-sama Sabah FC.

Barisan K. Devan yang berada di kedudukan ke sembilan pula jatuh tiga anak tangga mengumpul 2 mata.

Loading...
Terkini