comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Gol Safawi dinafi VAR

Safawi hampir mendapatkan jaringan pertamanya bersama Ratchaburi FC. – FOTO: Ratchaburi FC

KUALA LUMPUR: Ledakan gol bintang baharu Ratchaburi FC, Safawi Rasid yang dibatalkan sistem video bantuan pengadil (VAR) adalah ‘salam perkenalan’ dalam saingan Liga Thailand bahawa dirinya sudah bersedia untuk menggegar di liga itu.

Safawi, 25, yang baharu menyertai skuad The Dragon secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menunggu lama untuk menghadirkan impak buat memberi ‘amaran’ betapa kehadirannya di Liga Thailand bukan main-main.

Dalam aksi sulungnya ketika Ratchaburi FC menentang Khon Kaen United semalam, ketua pasukan Harimau Malaya itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada awal babak kedua perlawanan.

Pemain sayap berkaki kiri itu memainkan peranan cukup besar dengan berjaya menjana serangan demi serangan ke kubu lawan.

Akhirnya dia tidak menunggu lama untuk menemui jaring apabila meledak gol di hujung permainan.

Namun impian Safawi membuka akaun namanya dalam senarai penjaring Liga Thailand tidak kesampaian apabila VAR mengesan rakan sepasukannya yang menyentuh terlebih dulu bola berada pada kedudukan offside.

Lantas Safawi terpaksa menangguhkan dulu ‘keraian’ gol pertamanya itu di mana Ratchaburi FC tumbang 2-0 kepada Khon Kaen United. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini