comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT raih tonik hadapi Ulsan Hyundai

Esteban Solari mengakui ia bukanlah pertembungan yang mudah kerana skuad bimbingan Yusri Che Lah memberikan saingan yang sengit meskipun tewas dengan keputusan besar. Foto: Johor Southern Tiger/ Facebook

KUALA LUMPUR: Kemenangan besar 4-1 ke atas Perak FC pada separuh akhir pertama Piala Malaysia hadir tepat pada masanya sebagai persiapan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Skuad Harimau Selatan terbang ke Korea Selatan untuk aksi ketiga Kumpulan I dan dijadual berdepan Ulsan Hyundai di Stadium Bolasepak Munsu, Selasa ini.

Pengendalinya, Esteban Solari menganggap aksi menentang The Bos Gaurus begitu mustahak bagi mendapatkan keyakinan selepas pemain ‘berehat’ ketika jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berakhir, baru-baru ini.

“Pemain kita tidak bersama kerana jendela FIFA dan ada yang terbabit dengan pasukan kebangsaan, jadi aksi ini amat penting sebelum kita bertolak ke Korea Selatan.

“Banyak jangkaan yang diletakkan untuk aksi kita seterusnya berdepan Ulsan Hyundai yang juga juara Korea Selatan. Kita percaya kita ada peluang untuk mengulangi kejayaan seperti pada aksi menentang BG Pathum sebelum ini.

“Kita menghormati semua pasukan dan kita akan memberikan aksi yang terbaik untuk mendapatkan mata. Sasaran kita adalah untuk mencari tiket ke pusingan seterusnya,” kata Solari.

Selepas mengharungi dua perlawanan, JDT kini menghuni tangga kedua dengan tiga mata mengatasi Ulsan Hyundai dengan kelebihan jaringan namun ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Kawasaki Frontale.

Mengulas lanjut pertembungan menentang The Bos Gaurus, Solari mengakui ia bukanlah pertembungan yang mudah kerana skuad bimbingan Yusri Che Lah memberikan saingan yang sengit meskipun tewas dengan keputusan besar.

“Perak FC menunjukkan peningkatan berbanding pertemuan sebelum ini dan sentiasa memberikan tekanan kepada kita, mengasak kita dan meletakkan kita dalam situasi yang sukar.

“Kita tahu mereka begitu bersemangat kerana ini adalah separuh akhir Piala Malaysia tetapi kita fokus untuk menunjukkan permainan yang baik. Jadi saya gembira dengan persembahan mereka,” katanya.

Loading...
Terkini