comscore
Tumpuan :
Sukan

Senjata baharu JDT untuk musim depan sudah sampai

Jalil Elias ketika beraksi bersama San Lorenzo dalam Liga Primera Argentina. – Foto AGENSI

JOHOR BAHRU: Senjata baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) dikatakan sudah tiba di Johor Bahru dan bersedia untuk menyertai skuad Harimau Selatan bagi menghadapi saingan musim depan.

Ia susulan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar bersama Jalil Elias, pemain kelahiran Argentina itu di laman Instagram miliknya.

Sebelum ini, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan Elias akan menyertai Harimau Selatan pada Januari depan.

TMJ percaya kehadiran perancang tengah berusia 27 tahun itu mampu memberikan lebih keseimbangan di jentera penggerak Harimau Selatan.

JDT yang baru mencipta sejarah muncul pasukan pertama melakar kejayaan ‘double quadruple’ selepas menjulang Piala Malaysia, Jumaat lalu sudah memiliki beberapa pemain tengah berkualiti termasuk Afiq Fazail, Nathaniel Hong Wan dan Natxo Insa.

Justeru, kehadiran Elias akan menambah pilihan di bahagian tengah skuad kendalian Esteban Solari dengan Leandro Velazquez berehat panjang susulan kecederaan.

Jalil Elias (kanan) bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – Foto: HRH Crown Prince of Johor/ Instagram

Elias atau nama sebenarnya Jalil Juan Jose Elias sebelum ini beraksi selama dua tahun bersama San Lorenzo dalam Liga Primera Argentina, menjaringkan tiga gol dalam 33 penampilan.

Selain itu, terdapat khabar angin yang sedang bertiup kencang di media sosial ketika ini pemain pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad akan berhijrah ke JDT musim depan.

Laman Transfermarkt turut meletakkan pemain pertahanan kanan itu dalam senarai pemain bertatus perpindahan dengan JDT dikatakan bakal menjadi destinasi berikutnya.

Pemain sayap JDT, Safawi Rasid juga terkait dengan spekulasi perpindahan dengan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu dikhabarkan akan kembali ke negeri kelahirannya untuk bersama TFC.

Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai 2018 dan 2019 itu kurang mendapat minit permainan bersama JDT selepas aksi cemerlang dan konsisten yang dipamerkan bintang muda, Arif Aiman Hanapi.

Loading...
Terkini