comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Harimau Malaya jumpa Syria, China

Foto: FAM

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan dua aksi persahabatan Tier 1 yang akan dilalui skuad Harimau Malaya, pada September nanti.

Menerusi siaran media yang dikeluarkan FAM, skuad kendalian Kim Pan Gon itu dijadualkan berdepan Syria pada 6 September, sebelum bertemu China pada 9 September ini, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Chengdu, China.

“Berdasarkan Ranking FIFA terbaharu yang dikemas kini pada 20 Julai lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-136 dunia, sementara Syria di kedudukan ke-94 dunia dan China di kedudukan ke-80 dunia.

“Pengesahan bagi kedua-dua perlawanan ini dibuat menerusi penelitian dan perbincangan bersama di antara pihak pengurusan bersama Pan Gon sendiri selepas majlis undian Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis lalu (27 Julai 2023),” menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

Pada majlis undian Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berlangsung di AFC House Khamis lalu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan juga pemenang pusingan pertama kelayakan antara Taiwan atapun Timor-Leste.

Malaysia akan memulakan kempen kelayakan pada 16 November nanti berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berdepan Taiwan atau Timor-Leste pada 21 November.

Dalam pada itu, FAM mungkin terpaksa mencari pasukan lain untuk menyertai Pestabola Merdeka 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober nanti.

Ia selepas dua pasukan iaitu Lubnan dan Palestin diundi dalam kumpulan sama dalam Kumpulan I bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Loading...
Terkini