comscore
Tumpuan :
Sukan

Klopp tak setuju ‘layangan’ kad biru

Kad biru digunakan di peringkat akar umbi di England namun pembuat undang-undang bola sepak IFAB menangguhkan maklumat mengenai percubaan itu susulan rundingan dengan FIFA. – FOTO: Fail Agensi

LONDON: Cadangan untuk melaksanakan kad biru dan ‘sin-bin’ dalam bola sepak mendapat bantahan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Dilaporkan kad biru akan dilayangkan kepada pemain, yang kemudian akan dihantar ke ‘sin-bin’ selama 10 minit, sebagai sebahagian daripada percubaan terbaharu menangani kelakuan pemain di tengah padang.

Ketika ini, pemain dilayangkan kad merah atau dua kad kuning akan disingkirkan terus daripada permainan.

‘Sin-bin’ digunakan di peringkat akar umbi di England kerana salah laku dan laporan menyebut pembuat undang-undang bola sepak IFAB menangguhkan maklumat mengenai percubaan itu berikutan rundingan dengan badan induk dunia FIFA.

Difahamkan fasa percubaan itu tidak akan diadakan di tahap tertinggi untuk mengelak pemain daripada berdepan terlalu banyak peraturan berbeza serentak.

Klopp adalah antara beberapa pengurus Liga Perdana Inggeris yang melahirkan kebimbangan mengenai cadangan itu.

“Saya fikir segala-galanya kita perlu menjadikannya mudah semudah mungkin, bagi pengadil juga,” kata pengendali dari Jerman itu semalam.

“Ia satu tugas sukar. Saya fikir pengenalan kad biru akan menuju kegagalan juga.“Persoalan yang timbul: ‘Ia kad biru, sepatutnya ia kad kuning selama ini? Kini berehat selama 10 minit. Pada masa lalu ia sepatutnya kad merah atau hanya kad kuning’.

“Ia tidak kelihatan seperti satu cadangan yang bernas sejak ia didedahkan tetapi sebenarnya saya tidak pernah ingat mana-mana idea fantastik datang daripada mereka ini, jika mereka pernah mengutarakannya. Saya sudah berusia 56 tahun.

Turut menyokong Klopp, pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou yang menyatakan  rancangan itu mungkin satu lagi kesilapan oleh pihak berkuasa bola sepak selepas pengenalan kontroversi sistem VAR yang banyak menerima kritikan.

Manakala pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa cadangan itu diuji dengan teliti sebelum kad biru mendapat lampu hijau dan melihat ia mungkin satu idea yang baik selepas diteliti dengan sewajarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini