comscore
Tumpuan :
Sukan

Kejuaraan ‘treble’ bukan misi mustahil

Grealish (kiri) bersama Erling Haaland meraikan kejayaan City muncul juara Liga Perdana Inggeris musim ini. – FOTO: Reuters

MANCHESTER : Kejayaan Manchester City menjulang trofi Liga Perdana Inggeris lebih awal bagai laungan amaran kepada dua seteru utama, Manchester United dan juga Inter Milan yang akan menentang skuad kendalian Pep Guardiola itu pada final Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah, Jun nanti.

City meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat kali kelima dalam tempoh enam musim dengan menewaskan Chelsea 1-0 di Stadium Etihad, malam tadi.

Bagi pemain tengah, Jack Grealish, tidak pasukan yang mampu menghalang City untuk merakam kejuaraan ‘treble’ musim ini.

Selepas mengekori rapat Arsenal untuk sebahagian besar saingan musim ini, City mengatasi The Gunners dengan 12 kemenangan liga berturut-turut bagi merekodkan gelaran kali ketiga berturut-turut.

“Saya pernah bercakap dengan beberapa pemain tidak lama dahulu dan saya berkata, ‘bayangkan jika seseorang akan berkata kepada anda untuk memenangi liga anda perlu memenangi 12 perlawanan berturut-turut’.

“Saya tidak mengatakan saya tidak fikir kami boleh melakukannya tetapi ia akan menjadi sukar. Kami mempunyai begitu banyak bakat dalam skuad ini dan saya fikir pada masa ini kami tidak boleh dihalang,” katanya.

City ketika ini menikmati tempoh penguasaan dalam saingan Liga Perdana yang tidak dilihat sebelum ini sejak kali terakhir Manchester United melakukannya dengan memenangi lima gelaran dalam enam musim antara 1996 dan 2001.

Mereka juga dalam usaha untuk menyamai rekod treble United pada 1999 dan itu akan menjadikan City sebagai salah satu pasukan bola sepak Inggeris terhebat.

City akan menentang Manchester United pada perlawanan akhir Piala FA di Wembley pada 3 Jun, kemudian menentang Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Istanbul tujuh hari kemudian.

“Kami boleh menikmatinya bersama peminat kami dan memikirkan tentang final Piala FA dan final Liga Juara-Juara. Kami mahu memenangi ketiga-tiganya. Kami perlu banyak bekerja dan akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan trofi itu,” kata pemain tengah City, Bernardo Silva.

City tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara, kalah pada perlawanan akhir 2021 menentang Chelsea.

Loading...
Terkini