comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Liga Super Wanita Kuala Lumpur tarik penyertaan 10 pasukan 

KLWSL berikan platform terbaik kepada golongan wanita dikalangan 10 pasukan untuk menunjukkan kemampuan dan potensi dalam sukan bola sepak. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Program pembangunan bola sepak wanita tanah air terus diperluas menerusi satu lagi penganjuran pertandingan kompetetif.

Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) edisi kedua yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini bakal menampilkan 10 pasukan bertanding dengan hadiah terkumpul 30 ribu ringgit menjadi rebutan.

Selepas sambutan baik pada penganjuran sulung diterima dua tahun lalu, KLWSL sudah memulakan promosi sejak awal tahun lagi bagi menarik penyertaan saingan kali ini.

Kesemua yang mengambil bahagian ialah  KL Sunbears FC, Setiawangsa Rangers FC, Galaxi Sosial Team, Wangsa Maju City FC, Spicegals FC Sternen FC, PJ Kita, Japan Malaysia FC termasuk dari Negeri Sembilan, Mixstars FC dan Kelantan FA.

Objektif utamanya ialah memberi ruang kepada pemain berbakat mendapat peluang beraksi dalam pertandingan sekaligus membantu pembangunan akar umbi.

“Sebenarnya hasrat atlet dalam banyak sesi libat urus, mereka minta lebih banyak platform untuk bertanding dan baiki kedudukan mereka. Jadi adanya usaha seperti ini mereka tidak kira datang daripada FAM atau Wilayah Persekutuan, asalkan sesiapa anjur mewujudkan platform itu pastinya mendatangkan minat dan penambahan pemain juga,” kata Hannah semasa sidang media pelancarannya.

Dalam masa sama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga berharap penganjurannya dapat menjadi contoh serta dikembangkan kepada seluruh negara baik di Sabah mahupun Sarawak khususnya di luar bandar.

KLWSL merupakan hasil inisiatif kumpulan anak muda ibu kota yang mendapat sokongan Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Ahli Parlimen Setiawangsa untuk terus menarik minat warga Kuala Lumpur bermain bola sepak secara lebih kompetetif.

“Dahulu kita buat 18 tahun ke atas tetapi kita turunkan sekarang 14 tahun ke atas. Jadi akan ada pelapis-pelapis yang sekarang ini memandangkan SUKMA (Sukan Malaysia) sekarang sudah promosikan bola sepak wanita. Pada tahun depan, pemain bawah 21 tahun yang akan wakili negeri masing-masing dalam SUKMA di Sarawak juga turut bermain,” jelas Khushairi Aizad selaku pengarah program.

Sepak mula perlawanan sulung dijadual esok hinggalah aksi kemuncaknya pada 15 Oktober yang turut bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN).

Permainan peringkat kumpulan ditetapkan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa dan Stadium Mini Setiawangsa sebelum pusingan seterusnya dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini