comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: MFL usaha jelaskan bayaran wang kemenangan kepada JDT secara berperingkat

Datuk Ab Ghani menjelaskan pembayaran hutang wang kemenangan kepada JDT sedang dilakukan secara berperingkat.

PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengendalikan pertandingan domestik di negara ini mengakui mempunyai tunggakan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu wang kemenangan pada musim 2020.

Ia disahkan sendiri Presidennya Datuk Ab Ghani Hassan bagi menjawab persoalan mengenai hutang terhadap kelab bola sepak itu yang pernah dinyatakan pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini.

“Penangguhan pembayaran wang kemenangan pada musim 2020 sudah dipersetujui oleh pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di mana beliau memahami kekangan kewangan MFL yang kehilangan wang tajaan kira-kira RM30 juta akibat pandemik COVID-19,” kata Datuk Ab Ghani ketika ditemui media hari ini.

Proses pembayarannya diusahakan secara berperingkat dan dalam fasa akhir menyelesaikan bakinya tahun ini.

Datuk Ab Ghani turut memberitahu hutang tersebut hanya terhadap Harimau Selatan sahaja dan tidak membabitkan pasukan lain.

Sebelum ini Tunku Ismail pernah memberitahu sekiranya pasukan itu dikenakan denda akibat tindakan penyokong membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim, ia bolehlah ditolak daripada hutang lama dengan badan bola sepak negara ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada hari Sabtu menafikannya mereka mempunyai tunggakan dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut sejak 2014 itu.

Loading...
Terkini