comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Sampai bila nak tunggu? Tunggakan gaji tetap perlu dilunaskan – PFAM

Sarawak United jadi pasukan kedua selepas Melaka United dituntut melunaskan tunggakan gaji pemain. – FOTO: PFAM/Facebook

KUALA LUMPUR: Selepas Melaka United dituntut melunaskan tunggakan bayaran gaji yang mencecah RM 2.3 juta, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kini menghambat satu lagi pasukan iaitu Sarawak United.

Kenyataan PFAM yang disiarkan hari ini menjelaskan pasukan Borneo itu berhutang lebih 400,000 ringgit berpunca daripada kegagalan membayar gaji pemain yang mencecah empat bulan.

“Masalah tunggakan gaji yang berlarutan ini telah bermula sejak September 2022 dan kebanyakan pemain Sarawak United FC telah pun menamatkan tempoh kontrak bersama Sarawak United FC pada November dan Disember 2022 namun sehingga kini masih menunggu tunggakan bayaran dilunaskan oleh pihak Sarawak United FC,” menurut siaran media yang dikeluarkan PFAM hari ini.

PFAM telah menghantar laporan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 9 Januari lalu bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) mengenai masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain Sarawak United disusuli notis terbaharu ke pasukan tersebut pada 17 Januari meminta pembayaran disegerakan.

Pihak pasukan sudah memberikan maklum balas terhadap notis tetapi PFAM menyifatkan tiada langkah konkrit mengenai proses pembayaran dilihat.

Sarawak United dituntut menghormati tempoh masa pembayaran gaji yang dipersetujui dalam kontrak kerana pemain juga mengalami kesan akibat tidak mempunyai pendapatan bulanan.

Badan mewakili pemain profesional tanah air itu juga semalam menyatakan Melaka United berdepan tuntutan pembayaran gaji yang melebihi dua juta ringgit.

Ia membabitkan tunggakan selama enam bulan bermula dari Julai tahun lalu hingga Disember.

Loading...
Terkini