comscore
Tumpuan :
Sukan

Gaji tertunggak pemain NSFC akan dibayar kerajaan negeri

Foto: Ihsan Negeri Sembilan FC/ Facebook

SEREMBAN: Isu tunggakan gaji pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dijangka berakhir dalam masa terdekat susulan jaminan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, untuk membantu menyelesaikan kemelut itu.

Sumber memberitahu, Aminuddin sudah bersetuju menyelesaikan kemelut berkenaan dengan menyalurkan peruntukan khas kepada NSFC sebagai jalan penyelesaian.

“MB (Aminuddin) sudah bersetuju membantu menyelesaikan masalah gaji itu susulan perbincangan antara beliau dengan pihak pengurusan kelab, baru-baru ini.

“Saya difahamkan satu jumlah peruntukan sudah disediakan… jadi saya yakin masalah gaji pemain akan selesai dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak boleh nyatakan jumlah bantuan kewangan itu… mungkin sedikit masa lagi akan ada pengumuman manakala proses pembayarannya sedang dilakukan,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu kemelut gaji pemain skuad Hobin Jang Hobin terbongkar selepas dikatakan mereka tidak menerima gaji dua bulan iaitu bagi bulan Ogos dan September.

Susulan itu, prestasi skuad bimbingan K Devan itu dilihat terjejas selepas mereka tewas kepada Perak 0-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 1 Oktober lalu.

Sebelum ini, Devan sendiri mengesahkan pasukan bimbingannya itu menghadapi masalah gaji, namun pihaknya yakin pengurusan kelab terbabit akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan turut berkongsi situasi perit itu apabila berharap pihak NSFC dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain secepat mungkin untuk kepentingan pemain dan pasukan.

Sehingga kini pasukan terbabit dikatakan tidak menjalani latihan seperti biasa sekali gus mengundang rasa bimbang dalam kalangan penyokong ketika saingan Liga Super musim ini belum berakhir.

Mengulas lanjut, sumber berkenaan berkata, kerajaan negeri turut meminta pihak NSFC supaya dapat merancang kewangan dengan baik.

NSFC akan berdepan Kedah Darul Aman FC pada aksi Liga Super di tempat lawan, 28 Oktober ini.

Loading...
Terkini