comscore
Tumpuan :
Sukan

PFAM heret dua pasukan ke mahkamah

Izham Ismail. – FOTO: PFAM

KUALA LUMPUR: Pemilik pasukan Sarawak United dan Melaka United boleh dikatakan ‘panas punggung’ selepas ini apabila Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) akan terus membawa kes membabitkan tunggakan gaji bekas pemain mereka ke mahkamah.

Hal ini bermakna tiada lagi peluang kedua buat kedua-dua pasukan terbabit apabila PFAM akan mengambil tindakan undang-undang sebaik keputusan perbicaraan oleh Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di capai pada 6 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, keputusan itu diambil memandangkan kepimpinan kedua-dua pasukan terbabit gagal memberikan maklum balas dalam usaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain mereka sekali gus mendorong PFAM mengambil tindakan ‘keras’ itu.

“Sekarang ini kita menanti mesyuarat NDRC yang dijadualkan pada 6 April dan selepas perbicaraan itu akan bawa keputusan terus ke mahkamah.

“Ini sememangnya tindakan keras untuk pastikan tiada lagi tunggakan gaji pemain pada masa akan datang.

“Kita mengambil tindakan mahkamah kerana tiada ruang dan inisiatif pasukan terbabit untuk selesaikan masalah itu.

“Melaka United sudah menerima beberapa surat namun tiada maklum balas. Jadinya, kita mengambil tindakan undang-undang apabila gagal melunaskan tunggakan gaji,”katanya, ketika ditemui pada Program Buka Puasa Pfa Malaysia Bersama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), di sini, semalam.

Sebelum itu, PFAM mendedahkan mendedahkan tunggakan gaji pemain Melaka United berjumlah RM2.3 juta membabitkan tempoh enam bulan iaitu dari Julai hingga Disember tahun lalu.

Situasi terbabit tidak hanya membelenggu pasukan itu saja apabila PFAM turut memberitahu bahawa Sarawak United turut berdepan masalah tunggakan gaji lebih RM400,000.

Selain itu, Izham berkata, tindakan mahkamah yang diambil PFAM adalah kerana pengurusan kedua-dua pasukan terbabit tidak memberikan sebarang kerjasama untuk menyelesaikan isu tunggakan secara baik.

“Kita sudah menghantar beberapa surat sebelum ini namun mereka tidak ke arah menyelesaikan dengan baik sekali gus terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah,” katanya.

Loading...
Terkini