comscore
Tumpuan :
Sukan

Cheng Hoe anggap langkah ke Asia satu permulaan yang baik

Kejayaan Selangor FC ke saingan peringkat Asia selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam – Foto: Selangor FC / Facebook

ALOR SETAR: Kejayaan Selangor FC ke saingan peringkat Asia selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam dianggap pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe satu permulaan baik buat dirinya dan skuad Red Giants.

Satu gol yang diperolehi skuadnya hasil jaringan Ayron Del Valle pada minit ke-64 mengesahkan kemenangan penting ke atas Sang Kenari bagi memastikan kedudukan tangga kedua Liga Super kekal milik Selangor sekali gus menempah tiket ke saingan Asia musim depan.

“Ini adalah permulaan baik untuk saya dan juga pasukan kerana saya belum pernah bawa mana-mana kelab ke peringkat Asia dan sebagai jurulatih saya berbangga dengan pencapaian pasukan, tetapi di sebalik itu saya juga perlu bekerja keras kerana bila sampai ke tahap Asia dan tak ada pencapaian pun tak bermakna juga.

“Dengan pencapaian satu tahap lagi di peringkat Asia ini, kami perlu membuat persediaan yang lebih rapi pada musim depan kerana kita lihat saingan itu lebih tinggi dan oleh itu kita tak boleh ambil mudah kerana tahap dan prestasi kelab di peringkat Asia kini semakin meningkat.

“Namun kami ada masa untuk mempersiapkan diri ke peringkat Asia itu dan apa yang penting adalah semua pemain kini ingin bersedia dengan lebih baik kerana tidak mahu dibelasah oleh pihak lawan diperingkat lebih tinggi itu,” katanya.

Ditanya mengenai usaha ditunjukan anak buahnya dalam saingan Liga Super, Tan Cheng Hoe memuji keseluruhan jentera skuadnya yang menunjukkan kesungguhan dalam mengadaptasikan corak taktikal diperkenalkannya sejak awal musim ini.

“Ini bukan kejayaan jangka pendek di mana pemain sejak awal musim lagi bekerja keras mahukan kejayaan dan perjalanan kami masih lagi jauh dan kami kena pastikan sentiasa konsisten dan juga mempamerkan prestasi memberangsangkan pada setiap perlawanan.

“Pada awal musim mungkin pemain agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan corak dan falsafah permainan saya, namun disebabkan sikap serta dedikasi yang ada pada pasukan, akhirnya tahap mereka kini semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Loading...
Terkini