comscore
Tumpuan :
Sukan

Selangor FC yakin Faisal digantung hanya sebulan

Faisal Abdul Halim digantung empat bulan oleh FAM. Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Selangor FC yakin pemain tonggaknya, Faisal Abdul Halim akan digantung selama sebulan dari tempoh sebenar empat bulan seperti yang diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selangor FC dalam kenyataannya berkata baki tiga bulan lagi ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain terbabit selama 12 bulan dari tarikh 24 Ogos tahun ini hingga 24 Ogos tahun hadapan.

“Oleh itu, beliau (Faisal) tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC,” kata kelab itu.

Tambah Selangor FC, Faisal akan digantung selama sebulan bermula dari tarikh Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusannya semalam hingga 23 Ogos ini.

Selangor FC turut mengesahkan bahawa keputusan hukuman itu dimaklumkan kepada pihaknya hari ini dan susulan kenyataan media yang dibuat oleh Faisal selepas perlawanan menentang Sabah pada 27 April lalu.

Tambah Selangor FC, Faisal yang juga pemain kebangsaan hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib FAM semasa perbicaraan itu semalam.

Berdasarkan semakan dengan beberapa media yang mendapatkan reaksi Faisal selepas perlawanan itu, dia dipercayai telah mempertikaikan mutu pengadilan dalam aksi Liga Super itu.

Beliau antara lain berkata bahawa perkara itu berlaku setiap tahun dan dia tidak dapat menerimanya.

Selangor yang menduduki tangga kedua Liga Super ketika ini, tewas 1-2 kepada Sabah dalam perlawanan itu.

Loading...
Terkini