comscore
Tumpuan :
Sukan

Detik manis dan cukup bermakna – Shah Firdaus

Shah Firdaus pada sesi penyampaian hadiah acara keirin. – Foto: Shah Firdaus / FACEBOOK

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR – Memang satu kejayaan yang cukup bermakna buat pelumba basikal trek negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom selepas kejayaannya menduduki tempat kedua acara keirin akhir di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI yang berlangsung di Kaherah, Mesir malam tadi.

Kehadiran Shah Firdaus bagai tiba tepat pada masanya selepas pengumuman penarikan diri jaguh utama negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berikutan kecederaan yang dialaminya.

“Alhamdulillah, Allah izin menaiki podium untuk pingat perak dalam acara keirin, detik ini boleh dikatakan begitu manis dan bermakna untuk saya secara peribadi.

“Sebelum ini sudah terlalu banyak posisi podium yang terlepas dari genggaman di final kejohanan-kejohanan dunia dengan pelbagai bentuk halangan. Kita merancang, perancangan Allah lebih baik.

“Kita berusaha dan meminta dengan ilmu yang terbatas, Allah memberi dengan pengetahuanNya yang maha luas, terima kasih kepada yang sentiasa menyokong dan mendoakan.

“Semoga kejayaan ini memberi motivasi dan menyuntik semangat untuk saya dan pasukan melakar kejayaan yang lebih baik. InsyaAllah,” kata Shah Firdaus menerusi perkongsian dalam laman sosialnya.

Shah Firdaus, 28 yang meraih gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022, menamatkan saingan di tempat kedua dengan perbezaan masa +0.057 saat (s) di belakang pelumba Jepun, Shinji Nakano pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Kaherah.

Nakano memenangi emas dengan catatan masa 10.613s manakala gangsa menjadi milik rakan senegaranya, Kaiya Ota yang mencatat masa 10.686s.

Pada 25 Februari lalu, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memenangi perak acara keirin pada siri pertama Piala Negara-Negara yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ terpaksa menarik diri pada perlumbaan di Kaherah atas nasihat daripada doktor dan beberapa fakor lain yang memerlukan dia berehat seketika.

Perlumbaan Piala Negara-Negara selepas ini akan beralih ke Milton, Kanada yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 23 April ini.

Loading...
Terkini