comscore
Tumpuan :
Sukan

Dua gol Ronaldo bantu Al-Nassr tewaskan Al-Akhdoud

Penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo (kanan) melambungkan bola melepasi penjaga gol Al-Akhdoud, Paulo Vitor untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-80 di Al-Awwal Park, Riyadh awal pagi tadi. – FOTO: REUTERS

RIYADH: Cristiano Ronaldo meledak dua gol pada separuh masa kedua membantu Al-Nassr membenam Al-Akhdoud 3-0 pada aksi Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.

Gol pertamanya pada perlawanan itu hadir menerusi satu sentuhan menakjubkan dalam kotak penalti pada minit ke-77.

Namun, gol keduanya hanya tiga minit selepas itu lebih memukau peminat.

Penjaga gol Al-Akhdoud, Paulo Vitor meluru keluar untuk menyelamatkan kubunya namun bola itu melantun di depan Ronaldo.

Legenda Real Madrid itu kemudian pantas mendada bola sebelum melambungkan bola melepasi benteng pertahanan sekali gus menerjah jaring dari jarak 28 meter.

Sebelum itu, pada minit ke-13, gol pembukaan Al-Nassr dijaringkan pemain tengah Sami Al Naji.

Di laman X, jaringan Ronaldo itu menjadi bualan hangat.

Ramai yang memberi reaksi dengan seorang daripadanya menyifatkan bintang Portugal itu sebagai  pemain terhebat sepanjang zaman.

Seorang peminat  berkata: “Itulah gol terbaik tahunan Puskas. Tiada persoalan lagi!

Manakala seorang lagi memuji : “Teknik untuk menjaringkan gol itu dari jarak sejauh itu benar-benar gila, tidak ramai dalam dunia bola sepak boleh melakukannya. – AGENSI

Loading...
Terkini