comscore
Tumpuan :
Sukan

Tewaskan Messi dan Neymar, Ronaldo pemain terkaya di dunia

Cristiano Ronaldo kini beraksi dalam Liga Pro Saudi bersama Al-Nassr. – Foto: AlNassr FC/ Twitter

LONDON: Cristiano Ronaldo muncul pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia pada tahun 2023, memperoleh pendapatan lebih daripada pemain seperti Lionel Messi dan Neymar dalam tempoh 12 bulan lalu, menurut Forbes.

Ronaldo, yang juga disenaraikan Forbes sebagai atlet dengan bayaran tertinggi dalam mana-mana sukan, mendahului senarai dengan jumlah pendapatan dijangka AS$260 juta (RM1.22 bilion).

Kontrak penyerang Portugal itu bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, yang disertainya dari Manchester United pada Januari lalu, dilapor bernilai AS$200 juta (RM945 juta) manakala portfolio sokongannya termasuk Nike dan Jacob & Co dianggarkan bernilai AS$60 juta (RM284 juta) setiap tahun, menurut Forbes.

Messi menduduki tempat kedua dalam senarai itu dengan jumlah pendapatan dijangka AS$135 juta (RM638 juta), dirangsang susulan perpindahannya ke kelab Majos League Soccer (MLS), Inter Miami.

Penyerang Brazil, Neymar melengkapkan tiga teratas dengan jumlah pendapatan AS$112 juta (RM529 juta) selepas menandatangani kontrak dengan Al-Hilal dalam Liga Pro Saudi pada Ogos lalu.

Pengaruh Liga Pro Saudi jelas dilihat dalam senarai Forbes dengan empat pemain (Ronaldo, Neymar, Karim Benzema dan Sadio Mane) berada dalam senarai 11 teratas dunia.

Menurut Forbes, gabungan pendapatan empat pemain Liga Pro Saudi dikira untuk lebih separuh daripada AS$995 juta (RM4.7 bilion) yang diperoleh secara kolektif oleh semua 11 pemain dalam senarai terkaya.

Kylian Mbappe berada di kedudukan seterusnya, di belakang bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, Neymar, dengan jumlah pendapatan AS$110 juta (RM520 juta).

Erling Haaland dari Manchester City adalah pemain Liga Perdana Inggeris dengan gaji tertinggi dengan jumlah pendapatan tahunan lebih tinggi berbanding pemain Liverpool, Mohamed Salah dan rakan sepasukan Kevin De Bruyne.

Menurut Forbes, angka pendapatan di padang termasuk semua wang hadiah, gaji dan bonus yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan lalu manakala pendapatan di luar padang adalah anggaran tawaran penajaan, yuran penampilan, pendapatan pelesenan dan pulangan tunai daripada perniagaan yang dikendalikan. – AGENSI

Loading...
Terkini