comscore
Tumpuan :
Sukan

ESPORTS: HomeBois pukul rata pasukan TODAK

Foto: MPL Malaysia

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Pasukan HomeBois berjaya membalas kekecewaan musim lalu apabila menundukkan seteru utama, TODAK pada saingan ‘Regular Season’ MPL Malaysia musim ke 12 hari ini.

Pertembungan dua pasukan utama ini jadi tumpuan pada hari kedua minggu keempat menerusi perseteruan yang dibawa sejak musim ke 11 April lalu.

Bermain menerusi format ‘best of three’, aksi perlawanan pertama antara HomeBois dan TODAK cukup hangat sejak dari awal lagi.

Namun, disebalik penguasaan yang cuba dilakukan HomeBois di awal permainan, TODAK terutamanya menerusi Muhamad Alif ‘Rival’ Akmal Kamarulzaman yang menggunakan hero ‘Lancelot’ cemerlang mengutip kesemua tiga ‘turtles’ dengan kecekapannya menekan butang ‘retribution’.

Foto: MPL Malaysia

Namun, kawalan kemas HomeBois yang berjaya menyekat Danial ‘Cikugais’ Fuad untuk mendapatkan kekuatan mencukupi memudahkan tugas mereka untuk terus memberi tekanan.

Walaupun beberapa kali TODAK berjaya mematahkan serangan yang dilakukan HomeBois dalam kawasan kristal mereka, tekanan demi tekanan yang diberikan mula mendatangkan hasil.

Memasuki minit ke 23, bantuan ‘lord’ menyukarkan TODAK untuk terus bertahan, manakala fokus HomeBois lebih terarah kepada objektif utama iaitu memusnahkan kristal lawan untuk mendapatkan kemenangan pertama.

‘Game’ kedua, pastinya ramai menjangka TODAK akan melakukan kebangkitan untuk mengheret permainan ke perlawanan ketiga.

Namun, segalanya nyata meleset dengan pelan memgawal Cikugais selain permainan kemas Mohammad Zul Hisham ‘Xorn’ Mohd Noor dengan hero ‘Edith’, tekanan terus dirasai TODAK.

Serangan yang dilakukan HomeBois ketika permainan memasuki minit ke 16 disamping bantuan ‘lord’ sekali lagi membuahkan hasil.

Ketika TODAK cuba untuk melakukan pertahanan, dua pemain HomeBois, Muhammad Irfan ‘Sepat’ Aujung dengan hero ‘Terizla’ dan Muhammad Nazhan ‘Chibii’ Mohd Nor yang menggunakan hero ‘Helcurt’ memberikan fokus kepada kristal sebelum mengesahkan kemenangan 2-0.

Foto: MPL Malaysia

Kejayaan yang dilakar HomeBois menyaksikan mereka kini naik ke tangga ketiga carta kedudukan, turut mengutip 14 mata memyamai jumlah mata yang dikumpul dua pasukan teratas, Team SMG dan Red Giants Esports.

HomeBois kini hanya mempunyai baki 2 perlawanan lagi menentang Team Secret minggu depan dan Team HAQ pada minggu terakhir bagi berebut slot awal ‘upper bracket’ di peringkat kalah mati nanti.

Juara MPL Malaysia musim ke 12 akan meraih tiket automatik ke Kejohanan MLBB Dunia, M5, sementara naib juara akan bermain di pusingan ‘Wild Card’ yang menawarkan dua tiket ke Filipina Disember nanti.

Loading...
Terkini