comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Faisal dijangka kembali ke padang latihan tiga minggu lagi

SUBANG JAYA: Penyerang Selangor FC dan kebangsaan, Faisal Halim semakin menunjukkan perkembangan positif apabila dijangka akan mula menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan kira-kira tiga minggu lagi, selepas menjalani sesi pemulihan susulan insiden simbahan asid, Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, Faisal bagaimanapun tidak akan terus bermula dengan latihan intensif, sebaliknya akan menjalani latihan ringan terlebih dahulu.

“Sejak sidang media tempoh hari (13 Jun), luka dia semakin kering dan amat positif. Mungkin dua atau tiga minggu lagi akan mula berada di padang, melakukan latihan ringan, bukan bermain bola.

“Tahap kecergasannya sekarang di bawah dan rendah seperti pramusim kerana dua bulan tidak bermain bola langsung, tiada aktiviti fizikal,” kata Johan.

Beliau ditemui ketika mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melawat Kompleks 3k, di Seksyen 13, Subang Jaya, pagi tadi.

Menurutnya, pasukan tidak mahu terburu-buru mendedahkan Faisal kepada latihan bola sepak bagi, membendung perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Walaupun kita tahu dia seorang yang kuat tetapi kita tidak boleh mendedahkannya kepada kecederaan yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Dari segi mental pula, Johan memberitahu bahawa Faisal semakin berada di tahap lebih baik berbanding di awal insiden dan beliau yakin sebagai seorang pemain bola sepak profesional, Faisal mungkin menjadi pemain yang jauh lebih kuat sebaik menjejak kaki di atas padang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini