comscore
Tumpuan :
Sukan

Faisal Halim jalani latihan di gimnasium sejak 2 hari lalu

Faisal menjalani latihan di gimnasium sejak dua hari lalu untuk meningkatkan tahap kecergasannya. FOTO: Faisal Halim / Facebook

KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak Selangor FC (SFC), Faisal Halim kini sedang menjalani latihan kecergasan dan fizikal di dalam gimnasium sebagai latihan permulaan di Pusat Latihan SFC, sejak dua hari lalu.

Perkara itu dikongsikan pengurus pasukan SFC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang mengakui gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan pemain sayap Harimau Malaya itu.

Katanya, Faisal masih lagi dalam proses pemulihan dan beberapa program sudah diatur dengan permulaan ini tonggak kelahiran Pulau Pinang itu menjalani ‘conditioning training programme’ bagi memulihkan kecergasannya.

“Tidak ada latihan di atas padang bersama pemain lain, cuma dia (Faisal) turun menjalani latihan kecergasan dan fizikal kerana kecederaannya masih dalam proses pemulihan dan kita perlu berhati-hati.

“Dia hanya berlatih dalam gim. Ada juga lari-lari di luar tepi padang, tapi hanya ‘slow jogging’. Bagi saya secara peribadi, Faisal menunjukkan semangat juang tinggi untuk segera pulih.

“Ini sebenarnya membantu menguatkan mental, psikologi dan fizikalnya selepas apa yang berlaku. Kita akan pantau dari semasa ke semasa dan cuba membantu Faisal sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Faisal terpaksa berehat hampir dua bulan selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Susulan insiden itu, Faisal mengalami lecuran tahap empat dan terpaksa menjalani empat pembedahan bagi merawat anggota badan yang terkena asid itu.

Mahfizul lagi, kelibat Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey berlatih sekurang-kurangnya dapat memberi suntikan motivasi kepada rakan sepasukan lain yang bakal turun menentang Kuching City FC dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Dalam aksi pertama di Stadium Negeri Sarawak minggu lalu, Red Giants tewas 1-2 kepada Kuching City FC dan anak buah Nidzam Jamil wajib mencatat kemenangan dengan kelebihan dua gol untuk mara ke separuh akhir Piala FA musim ini.

“Perkara positif lain apabila dia menjalani latihan kecergasan adalah pemain lain turun bersemangat bila melihat Faisal ada di situ.

“Ia setidak-tidaknya dapat menaikkan moral pasukan yang perlu menang ke atas lawan nanti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini