comscore
Tumpuan :
Sukan

Faizal yakin tersenarai ke Piala Sultan Azlan Shah

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi negara Faizal Saari optimis namanya bakal tersenarai dalam 18 pemain terakhir membentuk pasukan bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 4 hingga 11 Mei ini.

Ia disebalik kenyataan ketua jurulatih kebangsaan Sarjit Singh untuk hanya memilih empat pemain senior bagi menyertai latihan skuad Speedy Tigers.

Menurut Faizal, 33, dia sangat teruja untuk kembali beraksi dalam kejohanan itu kerana sudah tiga tahun tidak bersama skuad negara dalam saingan itu dengan kali terakhir ialah pada 2019.

“Saya dipilih sebab dari awal lagi jurulatih sebut nama empat orang senior dan saya tiada masalah cedera, jadi saya terpilih.”

“Sudah tiga tahun tidak bermain di kejohanan ini, jadi saya rasa tahun ini dengan pasukan baharu, tenaga muda baharu, saya akan bantu sebanyak boleh,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan terakhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Faizal yang baharu sahaja menyertai latihan skuad kebangsaan pada Selasa berkata skuad negara sudah 85 peratus bersedia untuk menghadapi saingan piala berprestij itu.

“Kita akan gilap lagi pasukan di Ipoh dengan dua perlawanan persahabatan di sana. Saya sudah tiga hari berlatih, kombinasi kami tiada masalah,” katanya.

Malaysia yang berada pada ranking ke-13 dunia akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan pada 4 Mei, diikuti aksi berdepan Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas liga sepusingan akan mencabar untuk kejuaraan, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga.

– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini