comscore
Tumpuan :
Sukan

FIFA iktiraf kehebatan Arif Aiman

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Aksi Arif Aiman Hanapi  semakin mendapat pengiktirafan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila badan induk itu melihat skuad Harimau Malaya  sebagai ‘ancaman besar’ buat semua pasukan dalam kempen Piala Asia di Qatar, bulan depan dengan kehadiran bintang Johor Darul Ta’zim itu.

Lebih menarik, FIFA turut mengiktiraf Arif Aiman  antara lima bintang bakal menjadi tumpuan pada saingan tertinggi Asia itu nanti.

“Malaysia kini muncul sebagai kuasa baharu di Asia Tenggara. Harimau Malaya hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan mereka sebelum ketibaan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon, tetapi kemudian memenangi 18 daripada 27 perlawanan.

“Mereka (Malaysia) turut membuat permulaan baik untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dengan memenangi dua perlawanan awal Kumpulan D.

“Paling ketara, mereka bangkit daripada ketinggalan 1-3 ketika menentang Kyrgyzstan sebelum menang 4-3. Tunjang kejayaan itu ialah Arif Aiman, yang merekodkan tiga bantuan gol dalam kemenangan dramatik itu,” kata FIFA  di laman web badan induk dunia itu.

FIFA  turut mengakui nama Arif Aiman mula menjadi perhatian antarabangsa ketika pemain sayap itu meledak gol pada aksi persahabatan menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund hujung tahun lalu.

“Pemain berusia 21 tahun itu beraksi bersama kelab gergasi Malaysia, JDT dan meledak lapan gol dan mencipta 13 bantuan gol dalam 23 perlawanan musim ini.

“Dia menjadi terkenal selepas menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan menentang Borussia Dortmund akhir tahun lalu dan meningkat secara berterusan untuk menjadi salah satu prospek paling menarik di Malaysia”.

Di Piala Asia nanti, Harimau Malaya  diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Loading...
Terkini