comscore
Tumpuan :
Sukan

FIFA tambah pampasan Piala Dunia

Presiden FIFA, Gianni Infantino (kanan) dan Pengerusi Persatuan Kelab Eropah (ECA), Nasser al-Khelaifi menandatangani memorandum persefahaman di Budapest, Hungary. -FOTO: Reuters

ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan membayar AS$355 juta (RM1.57 bilion) kepada kelab-kelab yang melepaskan pemain mereka untuk Piala Dunia 2026.

Ia adalah peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding bayaran ketika edisi di Qatar tahun lalu.

Di bawah Program Manfaat Kelab, yang diperkenalkan di Piala Dunia Afrika Selatan 2010, FIFA membayar pampasan kepada kelab di seluruh dunia untuk setiap hari pemain mereka berada di kejohanan empat tahun sekali itu.

Manchester City mendapat bayaran tertinggi ketika Piala Dunia 2022, menerima RM24.37 juta daripada jumlah keseluruhan AS$209 juta (RM915.47 juta).

Namun jumlah itu akan bertambah selepas FIFA dan Persatuan Kelab Eropah (ECA) menandatangani perjanjian baharu sehingga 31 Disember 2030 di Budapest, Hungary.

Dengan Piala Dunia akan berkembang daripada 32 kepada 48 pasukan – dan 64 kepada 104 perlawanan – bermula dari edisi 2026 yang dianjur bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, jumlah pampasan berkenaan juga akan meningkat.

“Program Manfaat Kelab, yang membayar pampasan kepada semua kelab yang melepaskan pemain mereka untuk Piala Dunia, kini akan meningkat daripada AS$209 juta untuk edisi Piala Dunia 2018 dan 2022, kepada AS$355 juta untuk edisi 2026 dan 2030,” kata FIFA.

Loading...
Terkini