comscore
Tumpuan :
Sukan

Ghana cemaskan Portugal, Ronaldo terus jadi tumpuan.

Pemain Portugal rai jaringan Ronaldo. Foto: Reuters

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

DOHA: Permulaan yang agak mencemaskan buat Portugal sebelum skuad kendalian Fernando Santos lega dengan kemenangan 3-2 yang dilakar ke atas Ghana.

Dan pastinya detik yang cukup menceriakan buat pemain bintangnya, Cristiano Ronaldo yang turut membantu menghasilkan jaringan pada penampilan kali kelimanya di pentas Piala Dunia disebalik kontroversinya sebelum membuat persetujuan bersama berpisah buat kali kedua dengan kelab Manchester United.

“Ia adalah menutup segala babak minggu ini, kami menang dan saya gembira dapat membantu pasukan, selebihnya tidak penting lagi.

“Memang detik yang cukup mengujakan, pentas Piala Dunia kali kelima buat diri saya, kami menang dan bermula dengan langkah kanan, perlawanan pertama sangat penting dalam saingan ini.

“Pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia, ini cukup membanggakan saya,” kata Ronaldo selepas perlawanan.

Pertemuan Portugal menentang Ghana di Stadium 974 di Doha menyaksikan kehadiran 42,662 penyokong pada aksi pembukaan kedua-dua pasukan dalam kumpulan H.

Terikat 0-0 tamat babak pertama, Portugal terlebih dahulu membuka jaringan selepas dihadiahkan penalti.

Ronaldo tidak mempersiakan peluang terhidang, merembat kencang untuk meletakkan pasukannya mendahului pada minit ke 65.

Bagaimanapun, minit ke 73, Ghana menyamakan kedudukan hasil sentuhan Andre Ayew.

Persaingan kedua-dua pasukan terus sengit sebelum Portugal kembali mendahului pada minit ke 78 menerusi Joao Felix.

Dan ia disusuli dengan jaringan ketiga Portugal, kali ini menerusi penyudah Rafael Leao untuk kedudukan 3-1.

Minit ke 89, Ghana sempat menambah gol kedua menerusi jaringan Osman Bukari.

Dan ketika permainan menghampiri penghujung, Portugal nyaris dihukum selepas Inaki Williams berjaya mencuri bola dari penjaga gol, Diogo Costa.

Namun Williams terjatuh sebelum membuat percubaan dengan bola pantas ditendang keluar Danilo untuk menyelamatkan keadaan.

Perlawanan berakhir memihak Portugal 3-2, namun cabaran getir menanti selepas ini apabila dijadualkan bertemu dengan Uruguay (29 Nov).

Loading...
Terkini