comscore
Tumpuan :
Sukan

Hafizh julang nama JDT, naib juara ARRC

Hafizh hadiahkan podium pertama JDT Racing Team di saingan Kejuaraan Motosikal Asia. – FOTO: Ihsan JDT Racing Team

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah menghadiahkan podium pertama untuk JDT Racing Team di saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hari ini, sekaligus menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah dalam dunia sukan permotoran

Pada perlumbaan pembuka tirai dekat Litar Antarabangsa Chang, Thailand itu, Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelas ASB1000.

Dengan pengalaman luas dimilikinya termasuk pernah beraksi di MotoGP, ia ternyata memberi kelebihan buat Hafizh mengatur strategi meskipun kali pertama menyertai pelumbaan kelas berkenaan di ARRC.

Hafiz yang menunggang jentera Ducati, bermula di petak ketiga tetapi berjaya memimpin perlumbaan hampir separuh daripada 13 pusingan sebelum pelumba Indonesia yang mewakili Honda Dream Asia Racing Team, Andi Farid Izdihar memotongnya sekali gus memimpin saingan sehingga perlumbaan tamat.

Rakan sepasukan Andi, Nakarin Atiratphuvapat dari Thailand pula hampir meragut podium kedua milik Hafizh di garisan penamat, namun semakan ‘photo finish’ menyaksikan pelumba negara itu kekal memenangi podium kedua.

Biarpun tidak berjaya muncul juara, namun ia satu permulaan yang cukup positif buat Hafizh selepas berhadapan dengan masalah jentera seawal pusingan pertama pada perlumbaan pertama semalam, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara,  Azlan Shah Kamaruzaman yang mewakili TKKR Racing Team tidak berjaya mengulangi kejayaan memenangi perlumbaan pertama semalam selepas menamatkan perlumbaan hari ini di tempat kelima.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini